salam semua...
alhamdulillah, semakin hari semakin terasa hampirnya kita ke liang lahad.
setiap tahun kita menyambut ulangtahun kelahiran diri kita ke muka bumi ini dengan majlis-majlis yang serbaneka caranya.
ada yang menyambut di hotel, ada yang menyambut di pusat-pusat karaoke, ada yang menyambut di kelab-kelab dan ada yang menyambut di rumah sahaja samada bersama rakan taulan mahupun keluarga terdekat.
dan saya pasti sebagai seorang yang mengaku Islam dan telah mengulangi syahadah berkali-kali di dalam solat-solat wajib/fardhu mahupun sekali setahun di dalam solat hari raya, diri kita sekurang-kurangnya mahu mempertingkatkan amalan ibadah kita seharian.
kita tahu ibadah khusus adalah seperti solat, puasa, zakat dan haji manakala ibadah umum ialah seperti bersedekah, berkerja seharian, belajar dsbnya.
topik perbincangan yang saya mahu bawa ialah berkisar kepada sifat Riak di dalam ibadah; tidak kiralah ibadah khusus atau ibadah umum.
riak adalah merupakan satu sifat yang 'menghancurkan' kerana ia bertentangan dengan sifat sebagai hamba. sifat seorang hamba ialah zuhud iaitu tunduk patuh mengerjakan setiap suruhan Tuannya tanpa ada sebarang pertikaian apatahlagi tuannya ialah merupakan pencipta diri hamba itu.
riak juga kita tahu adalah sifat syaitan, iblis, taghut, dajjal dan seangkatan dengannya.
riak akan memusnahkan diri
riak akan menjauhkan diri dengan Allah
riak akan menghasut diri agar engkar
riak akan mengelapkan hati
riak akan membuka jalan luas ke neraka
riak akan memisahkan kita dengan manusia
riak akan membuatkan diri alpa
di mulai dengan surah lazim yang selalu kita baca ketika solat
Al-Maun
1. Tahukah Engkau akan orang Yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)?
2. orang itu ialah Yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim,
3. dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan Yang berhak diterima oleh orang miskin.
4. (kalau orang Yang demikian dikira dari bilangan orang-orang Yang mendustakan ugama), maka Kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang -
5. (laitu) mereka Yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
6. (juga bagi) orang-orang Yang berkeadaan riak (bangga diri Dalam Ibadat dan bawaannya),
7. dan orang-orang Yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang Yang berhak mendapatnya).
---------------------------------------------
7 ayat dari surah Al-Maun di atas sudah cukup untuk memberikan gambaran bagaimana orang-orang riak dan golongannya.
mereka-mereka ini digolongkan ke dalam golongan orang-orang yang mendustakan agama dunia dan akhirat.
sifat riak adalah perkara yang halus tetapi ia sering diterjemahkan oleh diri seseorang melalui tingkahlaku serta perbuatan dan percapakannya.
sifat riak sering dikaitkan dengan rasa bangga diri, samada secara halus (ujub=berkata-kata di dalam hati akan kebanggaan dan merendahkan orang lain yang kununnya tidak setaraf) atau secara kasar (sombong/takbur = terserlah melalui percakapan serta tingkahlaku)
maka bagaimanakah cara untuk seseorang yang riak agar dapat kembali kepangkuan Allah? jawapannya ialah Taubat sebagaimana 'taubatnya si nasuha'.
taubat seorang yang riak mestilah dilakukan dengan penyucian diri iaitu dengan ikhlas memperakui sifat-sifat mazmumah itu tadi. pendek kata seseorang itu perlu 'telanjang' di hadapan Allah sebelum dia di'telanjangkan' di padang mahsyar kelak.
hanya dengan 'telanjang' di hadapan Allah sahaja yang mampu untuk membantu seseorang itu kembali ke jalan yang benar.
kita lihat pula surah An-Nisaa'
142. Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
-------------------------------------
ayat 142 dari surah An-Nisaa' ini secara jelas mengolongkan orang-orang yang bersifat riak ini ke dalam golongan orang-orang munafik.
mereka-mereka ini solat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau takut diperkatakan oleh orang lain, namun hati mereka tidak kepada Allah.
dan keadaan solat mereka ialah dalam keadaan orang malas atau terpaksa melakukan atas sebab kerana sesuatu (samada segan dengan kata-kata orang atau menunjuk-nunjuk)
malah kita lihat bagaimana Allah menyatakan golongan ini penuh dengan tipu daya sehingga melibatkan ibadah khusus dan sekiranya ibadah khusus juga penuh dengan tipu daya, inikan pula ibadah umum seperti pekerjaan dsbnya.
akhir sekali, kita lihat pula ayat yang berbentuk peringatan serta amaran kepada golongan yang bersifat riak ini;
surah Al-Baqarah;
264. Wahai orang-orang Yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu Dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang Yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin Yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang Yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa Yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum Yang kafir.
---------------------------------------------------
sifat riak akan merosakkan amalan serta ibadah yang kita lakukan.
sifat riak tidak akan membuat kita memperoleh apa sahaja ganjaran di sisi Allah.
malah sifat riak ini jauh dari sifat orang-orang yang beriman, iaitu mereka-mereka yang percaya serta yakin dengan sebenar-benarnya dari sudut dalaman dan luaran atau zahir dan batin.
marilah kita sama-sama melakukan muhasabah diri dan melihat jauh ke dalam diri serta mengikis sifat-sifat mazmumah yang ada dengan melakukan taubat serta berzikir, mudah-mudahan kita tergolong ke dalam golongan yang memperoleh rahmat dan kecintaan Allah.
insya Allah.