Tuesday, February 22, 2011

Andainya Kau Mengetahui...

sudah masuk 2 tahun Rahmad membujang semula.
Rahmad berpisah dengan isteri tercinta setelah tiada titik sehaluan dalam kehidupan rumahtangga mereka.
Isteri Rahmad jenis 'modern' dan Rahmad dulunya jenis 'modern' juga.
Dihujung saat sebelum berpisah, berbagai cara yang Rahmad dan isteri lakukan namun mereka terpaksa akur bahawa berpisah adalah jalan terbaik pada ketika itu.

Rahmad sebenarnya terlalu sayangkan isterinya.
Rahmad mahu isterinya berubah menjadi muslimah sejati, meninggalkan kelab-kelab yang sering dikunjungi dan berhenti dari meminum arak.
Rahmad berusaha memujuk isterinya siang dan malam, semuanya dilakukan dengan lembut agar isterinya boleh menerima hasrat dan kehendaknya.

Rahmad sedar yang dahulunya dia juga yang bersalah membiarkan isterinya malah turut bersama-sama isterinya mengunjungi kelab-kelab bersama rakan-rakan.
Kesedaran Rahmad berada pada tahap yang tinggi lantas ianya tidak mahu mengulangi kesilapan lampau.
Usaha Rahmad memujuk isterinya ibarat mencurah air di daun keladi.
Isteri Rahmad terus dengan kehidupan 'modern'nya.
Rahmad walau masih menaruh harap agar isterinya kembali kepadanya dengan perubahan namun masa terus berlalu.

------------------------------------------------

Syukri masih terus bersabar dengan karenah isterinya yang terus memberontak tidak dapat menerima perubahan dirinya.
Sesekali Syukri turut merasa hairan mengapa perubahan yang dilakukan ini tidak boleh diterima oleh isterinya.
Dahulunya Syukri kaki ponteng solat.
Dahulunya Syukri kaki temberang dan pemboros.
Namun sikap Syukri yang dahulu tidak pernah menerima bantahan dari isterinya.

Kini Syukri rajin bersolat, berzikir dan bermunajat.
Syukri juga rajin ke masjid dan sering berkongsi perjalanan perubahan dirinya itu pada rakan-rakan.
Hidup Syukri yang dahulunya 'enjoy' dan bebas membuatkan beliau digemari oleh rakan-rakan.

Kini Syukri telah berubah dan perubahan itu sangat memberikan kesan terhadap dirinya.
Syukri sedikit demi sedikit mula meluangkan masa dengan anak-anak.
Syukri mula fokus akan amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya.
Namun setiap perubahan Syukri itu terus tidak digemari oleh isterinya.

Kini Syukri pasrah.
Syukri akan terus berusaha agar isterinya menerima perubahan diri yang dilakukan.
Syukri akan terus bersabar dan mendidik anak-anak agar tidak mengulangi perjalanan hidupnya terdahulu.

---------------------------------------------------------

Rahmad dan Syukri berlaga bahu ketika sama-sama melangkah keluar dari Masjid Nabi di Madinan.
Masing-masing tersenyum dan bermaafan walau mereka tidak mengenali antara satu sama lain.

Rahmad terus berjalan menuju ke hotel penginapannya, begitu juga Syukri.
Dalam hati masing-masing, terlintas.... 'andainya kau mengetahui......wahai isteriku...'

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails