Wednesday, January 13, 2010

ALLAH...




salam semua...

alhamdulillah, dewasa ini ramai di antara kita yang 'segera' mencari Al-Quran yang ada di rumah, atas almari, dalam almari dsbnya.

antara sebab berlakunya fanomena ini ialah kesan dari keputusan mahkamah tinggi kuala lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan islam.

saya tidak mahu mengulas tentang keputusan mahkamah tersebut, jauh dari mempertikaikannya...

saya hanya mahu membawa beberapa potong ayat dari kitab suci Allah; Al-Quran nul kareem..

bermula dengan surah Al-Anfal ayat ke 2;


Al-anfal
2. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

-> Allah memberitahu kita tentang sifat-sifat orang-orang di antara kita yang apabila dibacakan nama Allah maka gementarlah hati mereka. Mereka-mereka ini ialah orang-orang yang beriman, bertaqwa serta bertawakkal serta sabar dalam beribadah. Allah juga memberitahu bahawa mereka-mereka yang sempurna iman ini akan bertambah iman (yakin) serta berserah bulat.


Surah kedua iaitu surah At-Taubah;


At-Taubah
42. kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

-> ayat ini Allah menunjukkan betapa kaum munafik @ hipokrit yang bersumpah dengan nama Allah dalam melakukan dusta kepada Rasulullah. Maka kita dapati tiada sebarang masalah untuk para munafik (islam tetapi pembohong serta pendusta) untuk bersumpah dengan nama Allah. Perlulah kita menghindari sifat munafik ini kerana ianya sangat halus kerana mereka ini berugama islam berbanding dengan bukan islam atau kafir yang jelas nyata menolak islam.


56. dan mereka (yang munafik itu) bersumpah Dengan nama Allah Bahawa Sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum Yang pengecut.

-> ayat ini juga menerangkan sifat para munafik (islam tetapi berdusta lagi pembohong terhadap diri, Rasul & Allah) yang bersumpah dengan nama Allah. 

 62. mereka bersumpah kepada kamu Dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah Yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang Yang beriman.

63. tidakkah mereka mengetahui Bahawa sesiapa Yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam serta ia kekal di dalamnya? balasan Yang demikian adalah kehinaan Yang besar

65. dan jika Engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya Kami hanyalah berbual dan bermain-main". katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

-> ayat ini Allah menjelaskan lagi perangai para munafik yang sanggup mengejek dan memperolok-olokkan Allah, firman Allah (Al-Quran), serta rasulNya. Memang ada di antara kita yang bersifat munafik malah secara terus atau kias memperolok-olokkan Allah, ayat-ayat Allah serta Rasullullah.


74. mereka bersumpah Dengan nama Allah, Bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu Yang buruk terhadapmu), padahal Sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa Yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, Yang akan menjadi Pelindung dan juga Yang menjadi Penolong.

-> lihat ayat di atas; orang munafik tadi tidak menyedari mereka telah jatuh kaffir (menolak Allah, ayat Allah & Rasullullah) walaupun pada mulanya beriman. Lantas mereka ini berniat untuk menjadi lebih teruk lagi sehingga tahap mengambil nyawa (membunuh) walaupun ketika itu mereka telah beroleh kesenangan kurniaan Allah. Maha suci Allah yang terus membuka pintu taubat jika mereka bertaubat serta akan beroleh kebaikan di atas kesenangan itu tadi.

95. mereka akan bersumpah Dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang), supaya kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka); oleh itu berpalinglah dari mereka kerana Sesungguhnya mereka itu kotor (disebabkan mereka telah sebati Dengan kufur); dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan bagi apa Yang mereka telah usahakan.

surah seterusnya;


Al-Hajj
35. Iaitu orang-orang Yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang Yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan Yang menimpa mereka, dan orang-orang Yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang Yang mendermakan sebahagian dari rezeki Yang Kami berikan kepadaNya.

-> lagi Allah terangkan keadaan gementar yang dialami oleh orang yang sabar & cekal hati (beriman), yang solat serta para penderma.


39. diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

-> lihat bagaimana orang islam dibernarkan berperang (mempertahankan diri dari diceroboh) kerana di aniayai. Dan Allah lah jua yang maha berkuasa menolong untuk mencapai kemenangan.

40. Iaitu mereka Yang diusir dari kampung halamannya Dengan tidak berdasarkan sebarang alasan Yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) Yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa Yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -

-> ayat ini menerangkan lagi tujuan berperang itu di mana mereka-mereka ini diceroboh tanpa sebarang sebab kukuh melainkan hanya kerana mereka berkata 'Tuhan kami ialah Allah'. Allah juga menyatakan betapa teruknya akibat jika tidak Allah titipkan dorongan menghalang pergaduhan sesama manusia sehingga merosakkan rumah-rumah ibadat seperti gereja, rumah ibadat yahudi juga masjid. Ayat ini juga menunjukkan rumah-rumah ibadat inilah tempat-tempat yang paling banyak disebut nama Allah di dalamnya. Dan Allah malah akan menolong sesiapa yang menolong agama islam.
-> Cuba kita fikir bagaimana cara kita menolong agama kita? adakah kita selama hidup ini ada menolong agama kita? berdakwah agar berkembang agama, memakmurkan masjid agar agama nampak indah dan ada tarikan? dsbnya

41. Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara Yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan Segala urusan.

-> ayat ini menerangkan jenis-jenis manusia yang menolong agama islam; iaitu mereka yang solat, berzakat, berpesan kepada kebenaran dan kesabaran serta yang menegakkan hukum Allah (amal maaruf, nahi mungkar).
-> adakah kita sebagai pemimpin (samada pemimpin rumahtangga atau masyarakat atau negara) masuk dalam kategori manusia yang menolong agama islam atau kita termasuk ke dalam golongan yang meruntuhkan agama dengan bersifat dengan sifat yang berlawanan?

42. dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (Wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana Sesungguhnya sebelum mereka: kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;

ayat seterusnya dari surah Al-Fathir;


Al-Fathir
42. dan mereka bersumpah Dengan nama Allah Dengan sebenar-benar sumpahnya: Demi Sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, sudah tentu mereka akan menjadi orang-orang Yang lebih betul jalan ugamanya dari sebarang umat Yang lain. setelah datang kepada mereka seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, (maka kedatangannya itu) hanya menyebabkan mereka bertambah liar dari kebenaran,

43. sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan Yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang Yang menjalankannya. (dengan keadaan Yang demikian, maka) tidak ada Yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana Yang telah menimpa) orang-orang kafir Yang telah lalu. kerana Engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan Engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu.

-> kedua-dua ayat dari surah Al-Fathir ini menunjukkan sikap golongan-golongan terdahulu yang sentiasa beralasan dalam beriman. Alasan-alasan yang diberi hanya menjurus kepada satu sebab yakni mereka tidak dapat menerima Rasulullah sebagai Rasul yang terakhir serta penutup kepada para nabi & rasul. Dan perhatikan di mana mereka ini turut juga bersumpah dengan nama Allah.
-> memang ramai yang pandai serta tidak pandai mengatakan 'semua agama itu sama'... berhati-hatilah dengan 'statement' ini kerana yang dikatakan sama itu ialah agama Tauhid di mana dasar agama itu ialah menyembah pada Tuhan yang Esa serta mengamalkan 'amal maaruf nahi mungkar' . Agama-agama tauhid terdahulu yang dibawa oleh para-para nabi & rasul terdahulu memang menekankan pada sudut aqidah yang menyentuh kepada keimanan diri seseorang. Namun akibat dari dorongan nafsu serta rasa lebih mulia dari yang lain maka umat-umat terdahulu yang berugama tauhid tidak dapat menerima Rasulullah sebagai Rasul akhir zaman dan penutup para nabi & rasul.


akhir sekali saya bawa ayat dari surah Az-Zumar;

Az-Zumar
45. dan (di antara keburukan orang-orang Yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di Dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka Yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama Yang mereka sembah dan puja Yang lain dari Allah, mereka Dengan serta merta riang dan gembira.

-> lihat bagaimana Allah tunjukkan rupa, gaya dan sifat orang-orang yang syirik (menyembah, percaya, yakin kepada selain dari Allah). Mereka-mereka ini menjadi segan dan liar hati mereka; mereka-mereka ini rupanya menjadi riang dan gembira apabila disebut nama-nama atau perkara-perkara yang mereka suka (kereta, harta, perniagaan, hiburan dsbnya).
-> Maha Suci Allah yang Maha Benar lagi Maha Berkuasa... tidakkah kita mahu berfikir dan mengambil ilmu, peringatan dan dorongan untuk menjadi lebih baik apabila dibacakan ayat-ayat ini?


-----------------------------------------------------------------------

saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya amat yakin bahawa firman-firman Allah menerusi kalamNya Al-Quran nul kareem sudah cukup untuk memberi kita pedoman dan panduan dalam menjalani hidup du muka bumi ini.

bukalah Al-Quran.... bacalah barang sepotong ayat.
nescaya kita akan beroleh rahmatNya (taufiq, hidayah serta rahmat).

hayatilah sunnah Rasulullah; Siddiq, Amanah, Tobligh serta Fatonah.
nescaya kita akan tergolongan ke dalam golongan yang sentiasa beriman, bertaqwa, bertawakkal dan sabar.

insya Allah

wasalam

4 comments:

I'm Seri said...

Salam hormat sifu,

Alhamdulillah. Apapun saya tetap yakin dengan Yang Satu. Betapa sukar mahu berhijrah, onaknya membuatkan diri lebih bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim.

Anonymous said...

Terima kasih sifu atas ingatan.

Sifu Mirza said...

salam IRIS,

alhamdulillah.
keyakinan bulat disertakan dengan taqwa, tawakkal serta sabar...

insya Allah, awak akan diberi kekuatan dan kemudahan sebaik langkah perubahan itu diambil..

:-)

Sifu Mirza said...

sama-sama kak wan..

:-)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails