Friday, April 30, 2010

Main ikut tak fikir & kunun buat kebajikan


salam buat semua.

Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 170 - 171;

170. dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

171. dan bandingan (orang-orang Yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang Yang berteriak memanggil binatang Yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang Yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

kita selalu berhadapan dengan ramai manusia yang kita lihat seolah-olah tidak mahu berubah.
ianya adalah disebabkan beberapa perkara antaranya;

1. sudah 'hafiz' dengan perkara-perkara yang setiap hari sehingga memakan bertahun-tahun yang di'zikir'kan atau diulang-ulang lafaz. contoh; kita selalu sangat 'berzikir' aku tak reti, aku tak reti, aku tak reti...aku tak pandai, aku tak pandai, aku tak pandai.....atau alah ikut ajelah, alah ikut ajelah, alah ikut ajelah...

2. indoktrinasi oleh penjaga tentang sesuatu perkara sehingga ianya menjadi satu kesalahan jika kita mengingkarinya atau keluar dari batas sempadannya. contoh; jangan nak memandai-mandai ikut orang lain, kahwin kenalah bersanding..itukan adat kita..apa pulak orang kata, apa salahnya pakai seluar pendek..bukannya telanjang, alah orang nak bagi duit..ambiklah..

3. selesa dengan keadaan diri yang penuh dengan kemewahan dan serba-serbi cukup. apa nak susah-susah berubah. cukuplah, semua dah ada, apa nak pening lagi.

4. bercampur darah daging dengan hasil wang haram menerusi rasuah, riba, judi, harta anak yatim, tiada keluar zakat, tidak memeriksa punca wang yang diperolehi, wang hasil kezaliman serta penindasan dsbnya.

di dalam ayat 170; secara jelas dan terang Allah memperlihatkan betapa, ada segolongan manusia yang apabila ditegur, dinasihat, diajak kembali bertaubat, dikaunseling, ditarbiyah; mereka tidak mahu menerimanya malah dengan berani menolak secara terangan.

alasan yang golongan ini beri ialah kerana mereka tetap dengan apa yang diikuti, diimani, diamalkan dan diajar oleh keturunan mereka.

Allah menunjukkan betapa walaupun kita dalam mahu menasihati golongan ini dapat memberikan contoh dan dalil untuk mereka kembali atau berubah; mereka tetap tidak mahu berubah, walau terang dan nyata keturunan mereka itu amatlah tidak memahami tentang agama atau kurang pendidikan agama atau malas nak dalami ilmu agama atau cukup sekadar solat, zakat, haji, puasa dan hafal 2 atau 3 surah lazim....mereka tetap tidak mahu berubah.

Allah malah menunjukkan mengapa keturunan mereka menjadi begitu, adalah kerana tidak mendapat petunjuk serta hidayah dari Allah. contoh; mak ayah tidak belajar tinggi dan kurang mendalam ilmu agamanya tetapi kita berjaya belajar sehingga tahap universiti dan semestinya berkali-kali mendapat petunjuk serta hidayah dari Allah, namun kita tetap mahu mengikut mak ayah kita walaupun kita tahu dan lebih pengetahuan dari mak ayah kita.

maka untuk itu di dalam ayat seterusnya, ayat 171, Allah memberi perumpamaan golongan ini sebagai golongan yang pekak, bisu dan buta; malah, usaha dsn ikhtiar untuk kita berdakwah kepada mereka ini umpama kita berteriak kepada binatang. di mana mereka hanya mendengar tapi tidak tahu apa-apa kerana tidak dapat menggunakan akal yang ada.

kita lihat bagaimana butanya matahati sesetengah golongan dalam masyarakat kita yang begitu membuta tuli mengikut apa sahaja yang telah diikuti oleh keturunan mereka.

golongan ini tidak mahu berubah walau ditarbiyah.
mereka laksana buluh betung yang menanti untuk ditebang atau menanti robohnya tebing atau datangnya ribut untuk tumbang.

golongan ini jangan kita kira tidak bijak atau tidak pandai kerana sebab itu dalam ayat 170 jelas Allah mengatakan 'apa yang diturut oleh datuk nenek yang tak faham tentang agama dan tidak mendapat taufik serta hidayah'....maknanya anak cucu mereka ini faham tentang agama, tahu tentang agama malah penuh disekeliling dengan punca-punca taufiq serta hidayah tetapi kerana sifat tak mahu menggunakan akal mereka jadi buta, pekak dan bisu.

dan menyedihkan, sudahlah tidak mahu ikut jalan kebenaran; berani pula mengeluarkan fatwa-fatwa yang kununnya, alah bukannya salah ikut adat keturunan kita, asalkan hati mau baik, kita pun tolong banyak orang, kita pun buat banyak kebajikan atau dunia ini

maka Allah dalam firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 177;

177. bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan Segala malaikat, dan Segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang Yang terlantar Dalam perjalanan, dan kepada orang-orang Yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang Yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang Yang sabar Dalam masa kesempitan, dan Dalam masa kesakitan, dan juga Dalam masa bertempur Dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang Yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang Yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang Yang bertaqwa.

Masya Allah, sudah terang lagi nyata bagaimana Allah menerangkan sifat-sifat atau jenis-jenis orang-orang yang membuat kebajikan dan beriman ini.

Malah Allah turut menyatakan bahawa mereka-mereka ini ialah orang-orang yang benar dan orang-orang yang bertaqwa.

untuk jelas tentang sifat-sifat golongan yang benar ini;

-> beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi.
-> menderma harta yang kita sayangi kepada saudara, anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang meminta-minta. (sanggup berpisah dengan berkorban harta benda, jiwa & raga dan kita lakukannya hanya kepada Allah)
-> memerdeka hamba. (samada dalam bentuk nyata atau tersirat, boleh datang dalam bentuk niat kita mahu menghambakan sesiapa sahaja)
-> mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat
-> berjanji dan menunaikannya. (bersifat amanah dalam kehidupan)
-> bersifat tabah (terus berusaha) walau dalam kesempitan dan dalam kesakitan dan dalam peperangan sabil (berperang hanya kerana Allah)

malulah kita yang hanya pandai mengaku telah melakukan kebajikan tetapi kita tidak tersenarai di dalam sifat-sifat golongan yang beriman, bertaqwa dan benar (siddiq) dalam kehidupan.

janganlah kita mendabik dada kununnya sudah cukup apa yang kita lakukan.
sedangkan Allah menyatakan dalam kitab suci Al-Quran surah Al-Ankabuut ayat 2;

2. Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

masya Allah... sangat kita tidak faham betapa ujian yang datang melanda itu adalah untuk memantapkan keimanan diri yang ada dan ianya datang dalam berbagai-bagai bentuk.

Allah berfirman dalam surah Al-Imran ayat 186;

186. Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. dan Demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang Yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang Yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) Yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).

sudah terang Allah memberitahu bahawa antara ujian yang akan kita hadapi ialah dari sudut harta benda dan diri kita.
ujian yang datang juga adalah dari golongan-golongan kafir dan musyrik (islam tetapi mensyirikkan Allah dengan mengutamakan benda/perkara lain dari Allah).
orang-orang Islam musyrik ini memang menyakitkan hati kita, mereka akan datang dengan berbagai-bagai perkara yang berbentuk tuduhan serta makian dan cacian, keraan itu adalah lumrah dari hati yang buta.

beginilah beberapa keadaan manusia di akhir zaman.
mereka boleh jadi saudara mara kita, rakan-rakan kita atau yang terdekat dengan kita.

maka tetaplah di jalan kebenaran.
tetapkanlah tekad dengan penuh kesabaran.
kerana ini adalah ujian dan hanya kepada Allah lah kita berserah diri dan hanya kepada Allah lah kita kembali.

wasalam

Thursday, April 29, 2010

Pengajaran Buat Manusia Yang Lupa : Al-Hujurat




salam semua...

saya & rakan-rakan di baitulummah society telah melancarkan kempen 'Jom Fahami Makna Al-Quran!'.
kempen tersebut belum dirasmikan sepenuhnya, ianya baru berada di tahap kesedaran atau awareness dan ianya dipromote kepada rakan-rakan di facebook serta fan atau peminat Baitulummah Society di facebook.

insya Allah, kempen ini akan dilancarkan dalam bulan Ogos 2010 sebelum Ramadhan Al-Mubarak nanti.

matlamat kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran betapa Al-Quran itu adalah panduan hidup dan rujukan utama dalam setiap permasalahan yang manusia hadapi.

tidak perlu kita tahfiz untuk menyertai kempen tersebut, tidak perlu kita 'expert' tajwid, nahu dsbnya untuk kita sertai kempen tersebut; memadai kita seorang yang Islam serta mengucap dua kalimah syahadah.

untuk maklumat lanjut tentang kempen bolehlah ke facebook dan cari BaitulUmmah Society.

kali ini saya suka berkongsi makna ayat-ayat di dalam surah Al-Hujurat buat tatapan semua, mudah-mudahan menjadi percikan semangat untuk kembali membuka Al-Quran dan menyusuri isikandungan serta mengamalkannya. Insya Allah.

1. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
-> ingatan kepada orang-orang yang beriman agar tidak bertindak terburu-buru sehingga menjangkau Al-Quran & Sunnah Rasulullah.
-> ayat ini juga Allah menyuruh orang-orang beriman ini agar bertaqwa yakni menjalankan kehidupan seharian berdasarkan Al-Quran & Sunnah (Allah juga mengingatkan kepada kita bahawa Dia Maha Mendengar serta Maha Mengetahui)

2. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap Dengan setengahnya Yang lain. (larangan Yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
-> dalam ayat ini Allah menegaskan kepada orang-orang beriman agar menjaga adab dalam berkomunikasi terutamanya dengan Nabi (dan para pewaris nabi-nabi). 
-> meninggikan suara ini memang adalah satu lumrah apabila kita berkomunikasi apabila mahu menegaskan sesuatu & ingatan ini adalah untuk mengingatkan akan adab-adab yang baik dalam berkomunikasi.
-> malah Allah mengingatkan kealpaan kita dalam menjaga adab berkomunikasi ini akan menyebabkan amal-amal kita terhapus pahala dan ianya berlaku tanpa kita sedari.

3. Sesungguhnya orang-orang Yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang Yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala Yang besar.
-> lihat bagaimana mereka-mereka yang berusaha untuk merendahkan suara (menjaga adab dengan para nabi dan ahli keluarga serta pewaris & sahabatnya), mereka mendapat kurniaan Allah yang besar iaitu Allah membersihkan hati-hati mereka untuk mereka bertaqwa (dalam keadaan bersih).
-> mereka-mereka yang baik adab ini dibersihkan hati oleh Allah serta mendapat keampunan dan pahala yang besar.

4. Sesungguhnya orang-orang Yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, Wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
-> Allah memberi/menunjuk contoh bagaimana mereka-mereka yang kurang ajar atau tidak beradab ini memanggil-manggil Rasulullah dari luar kamar/bilik/tempat/dalam rumah.

5. dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga Engkau keluar menemui mereka, tentulah cara Yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
-> orang-orang yang kurang adab atau kurang ajar ini tidaklah berada dalam golongan mereka-mereka yang bersabar dan Allah menunjukkan betapa jika mereka bersabar itu lebih baik.
-> Maha Suci Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi yang menerima taubat hamba-hambaNya yang tidak sabar dan lalai.

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.
-> Allah memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar memeriksa setiap berita yang diterima dari golongan-golongan fasik untuk mendapatkan kebenarannya.
-> berita dari golongan fasik ini sangat merbahaya kerana ianya boleh membuatkan satu-satu golongan atau kaum itu ditimpa dengan fitnah yang sangat dahsyat kerana sipenerima berita jahil (tak memeriksanya) lalu akan memanjang-manjangkan berita fitnah itu.
-> penyesalan yang timbul setelah berlakunya 'kemusnahan atas satu-satu kaum itu akan hadir kerana kejahilan kita tidak memeriksa setiap berita.

7. dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -
-> Allah mengingatkan agar kita tidak mendahului Rasulullah dalam urusan pentadbirannya; dengan sibuk mahukan agar kehendak kita diikuti oleh Rasulullah.
-> Allah menunjukkan betapa sekiranya Baginda menurut kehendak manusia-manusia nescaya manusia itu akan mengalami kesukaran dalam kehidupan.
-> Allah menyatakan bahawa Rasulullah hanya menurut semua yang diwahyukanNya dalam setiap urusan kehidupan keseluruhannya dan tidak bergantung kepada selain Allah.
-> Allah menyatakan betapa orang-orang beriman ini patut bersyukur dengan nikmat 'iman' yang ada di dalam hati yang diperhiaskanNya.
-> mereka-mereka yang mendapat nikmat iman setelah beriman, dan keimanan itu pula diperhias cantikkan oleh Allah akan mendapati mereka membenci perkara-perkara yang kufur/engkar serta perkara-perkara fasik/tidak beriman setelah menyaksikan.
-> dan Allah memberitahu mereka-mereka inilah yang tetap menurut jalan lurus (mereka yang 'samiaqna wa atoqna' serta amal maaruf nahi mungkar).

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

9. dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
-> ayat ini adalah merupakan satu perintah dari Allah agar kita, tatkala menyaksikan ada 2 pihak yang beriman (mengucap dua kalimah syahadah serta menyakini akan Allah & Rasulullah) berperang/bergaduh/berselisih faham maka hendaklah kita damaikan mereka.
-> Allah memerintah agar sekiranya salah satu dari puak itu berlaku zalim terhadap yang satu lagi (zalim dalam erti menindas, memfitnah, tidak menjaga adab dan tidak menghormati sesama saudara serta mengingkari perintah Allah), maka perlulah kita melawan puak yang zalim tersebut sehingga puak itu kembali mematuhi perintah Allah.
-> setelah puak yang zalim itu kembali mematuhi perintah Allah maka kita perlu mendamaikan mereka semula dengan penuh keadilan dalam setiap perkara.
-> dan Allah sangat mengasihi orang-orang yang berlaku adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan mematuhi segala perintah Allah dan menuruti segala sunnah Rasulullah.

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
-> Allah menyatakan hakikat sebenarnya orang-orang beriman itu sebenarnya ialah bersaudara dan tidak sepatutnya mereka-mereka ini berselisih faham atau bergaduh antara satu sama lain.
-> perdamaian antara dua saudara yang beriman itu penting dalam pengukuhan ummah.
-> maka untuk memperoleh rahmat dari Allah, maka perlulah kita bertaqwa yakni melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

11. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.
-> ayat ini jika kita lihat merupakan satu amaran dari Allah, ia juga dalam bentuk perintah kepada orang-orang beriman agar tidak mencemuh, merendah, menghina, menindas dsbnya terhadap pihak yang lain.
-> Allah meningatkan kepada orang-orang beriman ini dengan amaran serta perintah ini kerana; harus orang ynag dihina, dicemuh, ditindas dsbnya itu lebih baik dari penindas/pencemuhnya.
-> Allah juga melarang membuka keaiban/mengejek/mengelar seseorang/satu-satu kaum, dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak baik kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan penghina/pengelar itu menjadi fasiq sesudah dia beriman.
-> dan mereka-mereka yang sudah beriman tetapi jatuh fasiq kerana perbuatan menghina/mengutuk/mengelar orang lain itu amatlah buruk keadaannya.
-> Allah menyatakan bahawa mereka-mereka yang jatuh fasiq ini jika tidak bertaubat di atas kefasiqan itu, adalah mereka-mereka yang zalim.

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
-> di dalam ayat ini Allah mengingatkan serta melarang orang-orang yang beriman agar menjauhi sebarang sifat prasangka atau bersangkaan.
-> prasangka atau bersangkaan kebanyakkannya menjurus kepada sangkaan buruk melebihi sangkaan baik.
-> Allah menyatakan bahawa sebahagian dari sangkaan & prasangka itu adalah dilarang dan amat buruk dan ianya adalah berdosa.
-> Allah juga melarang kita untuk mengintip atau mencari kesalahan atau aib orang lain; juga Allah melarang kita dari mengumpat atau membawa/memanjang cerita berkenaan orang lain kerana ianya adalah satu kesalahan yang besar dari sisi Allah.
-> Allah menyamakan perbuatan membuka aib, mencari kesalahan orang lain dan mengintip tersebut sama seperti memakan daging mayat saudaranya yang telah mati. Amat jijiklah perbuatan tersebut.
-> Akhirnya Allah menyuruh hambaNya bertaqwa serta bertaubat sekiranya melakukan perkara-perkara tersebut; dan Allah memberitahu hambaNya bahawa Dialah Tuhan yang Maha Menerima Taubat dan Maha Mengasihi akan hambaNya yang bertaubat dari dosa-dosa.

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
-> dijadikan Allah manusia yang pelbagai rupa dan jenis di atas mukabumi ini. dan mereka-mereka ini Allah perintah untuk mengenali antara satu sama lain.
-> dan Allah nyatakan bahawa orang-orang yang lebih taqwa (iaitu mereka yang samiaqna wa atoqna dan amal maaruf nahi mungkar) adalah yang lebih mulia berbanding keturunan dan bangsa)
-> dan Allah amat Maha Mengetahui dengan mendalam apa keadaan hambaNya.

14. orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke Dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam '. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
-> dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa selagi iman/keyakinan sebenar keyakinan belum meresap ke dalam hati kita; memadailah kita hanya menyatakan kita telah Islam.
-> ayat seterusnya Allah menunjukkan tanda-tanda (keadaan) taqwa (sifat/cara) orang yang islam untuk beriman itu dengan cara, taat kepada Allah & Rasul secara zahir & batin (keseluruhan diri).
-> dan Maha Suci Allah yang terus menyatakan betapa Dia Maha Pengampun (atas kesalahan kita) lagi Maha Mengasihani hambaNya.

15. Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
-> inilah tanda orang-orang yang benar-benar beriman; mereka percaya kepada Allah & Rasulullah tanpa ada sebarang keraguan (fizikal & spiritual).
-> orang-orang yang sebenar-benar beriman ini adalah mereka yang tiada keraguan dalam perjuangan serta menginfaqkan harta benda serta jiwa raga mereka ke jalan Allah, jalan kebenaran.

16. Katakanlah (kepada orang-orang "A'raab" itu Wahai Muhammad): "Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` Kami telah beriman ')? padahal Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
-> dalam ayat ini Allah menyangkal sekumpulan manusia yang terus mengatakan mereka telah beriman dan tahu tentang agama mereka sedangkan Allah lah jua yang Maha Mengetahui segala apa yang ada di seluruh alam ini.

17. mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (Wahai Muhammad) Dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): "Janganlah kamu mengira keIslaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (Kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah Yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah Yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
-> Allah menunjukkan betapa ada golongan manusia islam yang bersifat menunjuk-nunjuk dan mengungkit-ungkit dalam beragama sehingga perbuatan tersebut menjadi satu 'budi' yang perlu mendapat balasan.
-> Allah jualah yang Maha Berhak untuk menbangkit-bangkit akan budi kerana Allah lah yang memimpin manusia ke arah keimanan sedangkan manusia perlu beriman dan bertaqwa kepada Allah & Rasulullah tanpa sebarang ungkitan atau mahukan balasan.
 -> maka Allah tunjukkan betapa orang-orang yang benar-benar beriman ini tidak akan mengungkit setiap apa suruhan dan tegahan dan juga tidak mengharapkan balasan atas 'budi' keislaman mereka.

18. "Sesungguhnya Allah mengetahui Segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha melihat akan Segala Yang kamu kerjakan".

-> akhir sekali, ingatan Allah kepada semua hamba-hambaNya... Allahlah yang Maha Berkuasa serta Maha Mengetahui segala rahsia di langit dan dibumi dan Allah Maha Melihat setiap apa yang kita kerjakan dan kita tidak akan terlepas dari pandangan Allah.

-------------------------------------------------------------------------------------

Maha Suci Allah yang mengajar manusia dengan pena.
Banyak perkara yang kita boleh ambil dari Surah Al-Hujurat ini dalam melaksanakan tugasan sebagai hamba-hamba di atas muka bumi ini.
Kita tidak akan terlepas dari pandangan Allah.
Kita wajib menurut segala perintah Allah & mengamalkan segala suruhan Rasulullah.
Amatlah rugi manusia yang lalai serta leka akan ingatan-ingatan yang Allah berikan.

Marilah kita muhasabah diri, merangka kehidupan yang lebih bermakna, menjalankan setiap suruhan dengan penuh istiqomah.
Mudah-mudahan kita tergolong ke dalam golongan yang mencintai dan dicintai oleh Allah iaitu mereka-mereka yang redho serta diredhoi hendaknya. Insya Allah.

wasalam

Tuesday, April 20, 2010

Cara Politik Melayu Masih Hanyir...

salam semua....

gambar hiasan semangat 1 Malaysia oleh golongan muda melayu

gambar hiasan puteri harapan bangsa

gambar hiasan anak-anak muda melayu pelapis kepimpinan negara

zaman sebelum merdeka, melayu tidak ramai yang celik politik; hanya ada beberapa kerat kumpulan yang sedikit terpelajar membuka mata dengan memerhati susaana politik di negara sekeliling dan kebanyakkannya terpengaruh dengan kebangkitan rakyat Indonesia menuntut kemerdekaan.

kumpulan-kumpulan ini mempunyai ideologi mereka masing-masing; ianya bergerak mengikut corak yang dibawa oleh kepimpinan kumpulan tersebut; jika pemimpin kumpulan tersebut berminat dengan pergerakkan sosialis, maka kumpulan itu akan berjuang atas dasar sosialis; jika pemimpin kumpulan tersebut berminat dengan gerakkan Ikhwanul Muslimin (satu gerakan politik Islam di Mesir), maka kumpulan itu akan berjuang di atas dasar gerakan Islam; jika pemimpin kumpulan tersebut terpengaruh dengan cara penjajah british atau amerika, maka kumpulan itu akan berjuang mengikut tatacara british atau amerika.

kumpulan-kumpulan ini bertemu di satu titik pertemua yang sama iaitu mahau membebaskan tanah melayu dari penjajahan.
walau masing-masing punya ideologi atau cara berfikir yang berbeza namun di atas titik kesamaan iaitu mahu membebaskan negara pertiwi dari penjajahan, maka semua bersatu untuk menuntut kemerdekaan.

oleh kerana pada waktu itu negara kita dijajah oleh british, maka hampir keseluruhan tanahair mempunyai ajen-ajen british.

telah dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa musuh Islam yang nyata ialah yahudi dan nasrani dan penjajah british tergolong di dalam golongan musuh Islam yang nyata. Mereka ini Allah sebut sebagai musuh Islam yang nyata adalah kerana, mereka tidak akan berpuas hati selagimana orang Islam itu tidak tunduk patuh serta menurut perintah mereka.

maka akibat dari tekanan yang sangat hebat dari kumpulan-kumpulan yang menajdi semakin besar dan tersusun kemas untuk 'menghalau' british dari tanah melayu, maka orang british kafir ini menyusun strategi yang sangat ampuh dan telah terbukti strategi itu berkesan sepanjang 50 tahun yang lalu.

apa strateginya? pecah & perintah.

british telah memecah belahkan kesatuan yang wujud dari titik persamaan yang wujud di kalangan kumpulan-kumpulan rakyat jelata tanah melayu tidak kira apa ideologi mereka.
british sebelum meninggalkan tanah melayu telah menghancurkan atau paling tidak melumpuhkan mana-mana kumpulan yang meletakkan dasar atau asas perjuangan Islam sebagai tunjang perjuangan kerana britis tidak rela tanah melayu menjadi negara islam sejati.

atas alasan majmuk maka british telah mengenalpasti kumpulan yang 'pro' british untuk dijadikan 'alat halus' dalam mengekalkan penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan ekonomi & sosial.

antara beberapa tokoh melayu islam yang sedar akan kelicikan strategi british ini ialah dato' onn jaafar, dr, burhanudin al-helmy, dr zulkifly muhamad, ahmad boestaman dan beberapa tokoh hebat yang lain.

mereka-mereka ini 'diketepikan' oleh british secara halus atau 'indirect' menerusi cara 'adu domba' media.

british tahu kejayaan belanda walaupun diusir oleh rakyat indonesia untuk menuntut kemerdekaan adalah dari sudut memecah belahkan kesatuan orang-orang islam di sana.

orang-orang kafir punya titik kesamaan yang mudah tidak kira dari benua mana mereka berasal iaitu, pastikan Islam tidak bangkit semula. dan lakukan apa juga cara agar orang Islam tidak akan bersatu.

maka banyak sejarah tentang kesatuan kumpulan-kumpulan ini berdasarkan kekuatan Islam telah dipadamkan dari diketahui oleh generasi anak bangsa. anak bangsa hanya perlu tahu, perjuangan menuntut kemerdekaan adalah hasil 'ajen-ajen' pro british yang telah berjuang 'bermati-matian' tanpa dibantu oleh kumpulan lain...

anak-anak muda tidak boleh bertanya; mengapa dato' onn keluar dari parti pro british yang diasaskan olehnya? anak-anak mudah tidak boleh bertanya mengapa akhirnya bapa kemerdekaan juga keluar dari parti pro british yang diwarisi dari dato' onn? anak-anak muda juga dilarang bertanya mengapa tun hussien onn (anak kepada dato' onn jaafar) juga meninggalkan parti pro british?

sistem pendidikan negara kita sebenarnya amatlah rapuh.
sistem pendidikan negara kita tidak 'seiring' dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan mengutamakan islam sebagai cara hidup.

perlembagaan kita hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi tetapi tidak meletakkan islam sebagai cara hidup.
samada british tidak bersetuju dengan meletakkan islam sebagai cara hidup di dalam perlembagaan negara atau para penuntut kemerdekaan telah makan gula-gula atau nasi tangas buatan british.

namun kita faham dan perlu akur; bapa borek, anak rintik... guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

hakikatnya; hasil kesilapan atau hasil dari kurang mantapnya sistem rohani diri dari segi spiritual islaminya telah mengakibatkan negara kita umpama tiada asas yang kukuh untuk tegap berdiri dan bersaing dengan negara-negara luar.

amerika kita pasti tunjangnya; mennerappakai cara hidup kristian & yahudi.
thailand kita pasti tunjangnya; menerappakai cara hidup gautama budha
iran kita pasti tunjangnya; menerappakai cara hidup islam

antara 3 negara di atas... mana satu yang paling dimusuhi oleh negara kafir atau 'tidak berapa nak kawan' oleh
negara islam?

maka sistem cara hidup di tanahair yang kita namakan Malaysia ini sebahagian besarnya di kemudi oleh parti kebangsaan melayu.

maka mudahlah sifir kita; jika melayu yang mengemudi sistem tadi islamnya ibarat batuk ditangga atau solat maghrib hanya berkain pelekat dan berlenggeng, maka kita tahu apa kualiti sistem negara kita.

sistem hanyir yang ada telah memecah-mecahkan ahlinya kepada 4 golongan;

1. para penguasa yang buas nafsu tetapi cerdik bermuka
2. para pemimpin pelapis yang mula menerima ideologi 'niat menghalalkan cara'
3. para pemimpin kecil yang digula-gulakan oleh projek longkang atau besarkan surau
4. grass root yang ikut membuta tuli dan ingat microsoft word & excell itu 'internet'

 bersambung....

Friday, April 02, 2010

Din Beramboi....

Al-Fatihah untuk Allahyarham Saudara Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau semua mengenalinya dengan nama Din Beramboi.

Saya mengenali beliau sekitar tahun 1990. Pada waktu itu saya hanya mendengar rakaman lawak melalui kaset yang dibawa oleh rakan ke ofis.

beberapa lawaknya dalam kaset tu; antaranya ialah dia menelefon dj radio dan untuk membuktikan dia sedang memandu, dj radio tersebut menyuruh din beramboi membunyikan hon kereta... bunyi hon tersebut juga dibuat dengan mulut...'kalau tak percaya, pakcik bunyikan hon....tit tit...'

saya juga pernah bertemu beliau semasa beliau menjayakan satu show di selayang mall (jika tidak silap)...dan seterusnya ialah sejarah.



'sebatang lilin yang membakar diri untuk membahagiakan orang'..
mungkin ada yang terguris dengan lawaknya tetapi ramai yang terhibur dan hilang duka dengan aksinya lawaknya ... hanya Allah Yang Maha Mengetahui 'tugasan' Din Beramboi di dunia ini...



watak Din Beramboi yang dikartunkan dan dilukis oleh Ujang...



Din Beramboi bersama Aznil, meriuhkan pagi semua rakyat malaysia yang mendengar radio Era...



mesej 'twitter' Din Beramboi 3 minggu dan 2 minggu sebelum meninggal dunia....
ya...sepertimana yang kita tahu, semua yang akan kembali ke rahmatullah akan mengetahui kedatangan hari tersebut secara kasarnya... Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dengan tepat.

dan kita juga sebenarnya selalu dijengok oleh Malaikat Izrail saban detik saban hari....

mudah-mudahan saudara Mior Ahmad Fuad berada di kalangan orang-orang yang beriman di sana...
Insya Allah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails