Thursday, April 29, 2010

Pengajaran Buat Manusia Yang Lupa : Al-Hujurat




salam semua...

saya & rakan-rakan di baitulummah society telah melancarkan kempen 'Jom Fahami Makna Al-Quran!'.
kempen tersebut belum dirasmikan sepenuhnya, ianya baru berada di tahap kesedaran atau awareness dan ianya dipromote kepada rakan-rakan di facebook serta fan atau peminat Baitulummah Society di facebook.

insya Allah, kempen ini akan dilancarkan dalam bulan Ogos 2010 sebelum Ramadhan Al-Mubarak nanti.

matlamat kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran betapa Al-Quran itu adalah panduan hidup dan rujukan utama dalam setiap permasalahan yang manusia hadapi.

tidak perlu kita tahfiz untuk menyertai kempen tersebut, tidak perlu kita 'expert' tajwid, nahu dsbnya untuk kita sertai kempen tersebut; memadai kita seorang yang Islam serta mengucap dua kalimah syahadah.

untuk maklumat lanjut tentang kempen bolehlah ke facebook dan cari BaitulUmmah Society.

kali ini saya suka berkongsi makna ayat-ayat di dalam surah Al-Hujurat buat tatapan semua, mudah-mudahan menjadi percikan semangat untuk kembali membuka Al-Quran dan menyusuri isikandungan serta mengamalkannya. Insya Allah.

1. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
-> ingatan kepada orang-orang yang beriman agar tidak bertindak terburu-buru sehingga menjangkau Al-Quran & Sunnah Rasulullah.
-> ayat ini juga Allah menyuruh orang-orang beriman ini agar bertaqwa yakni menjalankan kehidupan seharian berdasarkan Al-Quran & Sunnah (Allah juga mengingatkan kepada kita bahawa Dia Maha Mendengar serta Maha Mengetahui)

2. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap Dengan setengahnya Yang lain. (larangan Yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
-> dalam ayat ini Allah menegaskan kepada orang-orang beriman agar menjaga adab dalam berkomunikasi terutamanya dengan Nabi (dan para pewaris nabi-nabi). 
-> meninggikan suara ini memang adalah satu lumrah apabila kita berkomunikasi apabila mahu menegaskan sesuatu & ingatan ini adalah untuk mengingatkan akan adab-adab yang baik dalam berkomunikasi.
-> malah Allah mengingatkan kealpaan kita dalam menjaga adab berkomunikasi ini akan menyebabkan amal-amal kita terhapus pahala dan ianya berlaku tanpa kita sedari.

3. Sesungguhnya orang-orang Yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah (s.a.w), - merekalah orang-orang Yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala Yang besar.
-> lihat bagaimana mereka-mereka yang berusaha untuk merendahkan suara (menjaga adab dengan para nabi dan ahli keluarga serta pewaris & sahabatnya), mereka mendapat kurniaan Allah yang besar iaitu Allah membersihkan hati-hati mereka untuk mereka bertaqwa (dalam keadaan bersih).
-> mereka-mereka yang baik adab ini dibersihkan hati oleh Allah serta mendapat keampunan dan pahala yang besar.

4. Sesungguhnya orang-orang Yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, Wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).
-> Allah memberi/menunjuk contoh bagaimana mereka-mereka yang kurang ajar atau tidak beradab ini memanggil-manggil Rasulullah dari luar kamar/bilik/tempat/dalam rumah.

5. dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga Engkau keluar menemui mereka, tentulah cara Yang demikian lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
-> orang-orang yang kurang adab atau kurang ajar ini tidaklah berada dalam golongan mereka-mereka yang bersabar dan Allah menunjukkan betapa jika mereka bersabar itu lebih baik.
-> Maha Suci Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi yang menerima taubat hamba-hambaNya yang tidak sabar dan lalai.

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.
-> Allah memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman agar memeriksa setiap berita yang diterima dari golongan-golongan fasik untuk mendapatkan kebenarannya.
-> berita dari golongan fasik ini sangat merbahaya kerana ianya boleh membuatkan satu-satu golongan atau kaum itu ditimpa dengan fitnah yang sangat dahsyat kerana sipenerima berita jahil (tak memeriksanya) lalu akan memanjang-manjangkan berita fitnah itu.
-> penyesalan yang timbul setelah berlakunya 'kemusnahan atas satu-satu kaum itu akan hadir kerana kejahilan kita tidak memeriksa setiap berita.

7. dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -
-> Allah mengingatkan agar kita tidak mendahului Rasulullah dalam urusan pentadbirannya; dengan sibuk mahukan agar kehendak kita diikuti oleh Rasulullah.
-> Allah menunjukkan betapa sekiranya Baginda menurut kehendak manusia-manusia nescaya manusia itu akan mengalami kesukaran dalam kehidupan.
-> Allah menyatakan bahawa Rasulullah hanya menurut semua yang diwahyukanNya dalam setiap urusan kehidupan keseluruhannya dan tidak bergantung kepada selain Allah.
-> Allah menyatakan betapa orang-orang beriman ini patut bersyukur dengan nikmat 'iman' yang ada di dalam hati yang diperhiaskanNya.
-> mereka-mereka yang mendapat nikmat iman setelah beriman, dan keimanan itu pula diperhias cantikkan oleh Allah akan mendapati mereka membenci perkara-perkara yang kufur/engkar serta perkara-perkara fasik/tidak beriman setelah menyaksikan.
-> dan Allah memberitahu mereka-mereka inilah yang tetap menurut jalan lurus (mereka yang 'samiaqna wa atoqna' serta amal maaruf nahi mungkar).

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

9. dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.
-> ayat ini adalah merupakan satu perintah dari Allah agar kita, tatkala menyaksikan ada 2 pihak yang beriman (mengucap dua kalimah syahadah serta menyakini akan Allah & Rasulullah) berperang/bergaduh/berselisih faham maka hendaklah kita damaikan mereka.
-> Allah memerintah agar sekiranya salah satu dari puak itu berlaku zalim terhadap yang satu lagi (zalim dalam erti menindas, memfitnah, tidak menjaga adab dan tidak menghormati sesama saudara serta mengingkari perintah Allah), maka perlulah kita melawan puak yang zalim tersebut sehingga puak itu kembali mematuhi perintah Allah.
-> setelah puak yang zalim itu kembali mematuhi perintah Allah maka kita perlu mendamaikan mereka semula dengan penuh keadilan dalam setiap perkara.
-> dan Allah sangat mengasihi orang-orang yang berlaku adil yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan mematuhi segala perintah Allah dan menuruti segala sunnah Rasulullah.

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
-> Allah menyatakan hakikat sebenarnya orang-orang beriman itu sebenarnya ialah bersaudara dan tidak sepatutnya mereka-mereka ini berselisih faham atau bergaduh antara satu sama lain.
-> perdamaian antara dua saudara yang beriman itu penting dalam pengukuhan ummah.
-> maka untuk memperoleh rahmat dari Allah, maka perlulah kita bertaqwa yakni melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

11. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.
-> ayat ini jika kita lihat merupakan satu amaran dari Allah, ia juga dalam bentuk perintah kepada orang-orang beriman agar tidak mencemuh, merendah, menghina, menindas dsbnya terhadap pihak yang lain.
-> Allah meningatkan kepada orang-orang beriman ini dengan amaran serta perintah ini kerana; harus orang ynag dihina, dicemuh, ditindas dsbnya itu lebih baik dari penindas/pencemuhnya.
-> Allah juga melarang membuka keaiban/mengejek/mengelar seseorang/satu-satu kaum, dengan menggunakan bahasa-bahasa yang tidak baik kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan penghina/pengelar itu menjadi fasiq sesudah dia beriman.
-> dan mereka-mereka yang sudah beriman tetapi jatuh fasiq kerana perbuatan menghina/mengutuk/mengelar orang lain itu amatlah buruk keadaannya.
-> Allah menyatakan bahawa mereka-mereka yang jatuh fasiq ini jika tidak bertaubat di atas kefasiqan itu, adalah mereka-mereka yang zalim.

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
-> di dalam ayat ini Allah mengingatkan serta melarang orang-orang yang beriman agar menjauhi sebarang sifat prasangka atau bersangkaan.
-> prasangka atau bersangkaan kebanyakkannya menjurus kepada sangkaan buruk melebihi sangkaan baik.
-> Allah menyatakan bahawa sebahagian dari sangkaan & prasangka itu adalah dilarang dan amat buruk dan ianya adalah berdosa.
-> Allah juga melarang kita untuk mengintip atau mencari kesalahan atau aib orang lain; juga Allah melarang kita dari mengumpat atau membawa/memanjang cerita berkenaan orang lain kerana ianya adalah satu kesalahan yang besar dari sisi Allah.
-> Allah menyamakan perbuatan membuka aib, mencari kesalahan orang lain dan mengintip tersebut sama seperti memakan daging mayat saudaranya yang telah mati. Amat jijiklah perbuatan tersebut.
-> Akhirnya Allah menyuruh hambaNya bertaqwa serta bertaubat sekiranya melakukan perkara-perkara tersebut; dan Allah memberitahu hambaNya bahawa Dialah Tuhan yang Maha Menerima Taubat dan Maha Mengasihi akan hambaNya yang bertaubat dari dosa-dosa.

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
-> dijadikan Allah manusia yang pelbagai rupa dan jenis di atas mukabumi ini. dan mereka-mereka ini Allah perintah untuk mengenali antara satu sama lain.
-> dan Allah nyatakan bahawa orang-orang yang lebih taqwa (iaitu mereka yang samiaqna wa atoqna dan amal maaruf nahi mungkar) adalah yang lebih mulia berbanding keturunan dan bangsa)
-> dan Allah amat Maha Mengetahui dengan mendalam apa keadaan hambaNya.

14. orang-orang " A'raab" berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke Dalam hati kamu berkatalah sahaja: ` Kami telah Islam '. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".
-> dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa selagi iman/keyakinan sebenar keyakinan belum meresap ke dalam hati kita; memadailah kita hanya menyatakan kita telah Islam.
-> ayat seterusnya Allah menunjukkan tanda-tanda (keadaan) taqwa (sifat/cara) orang yang islam untuk beriman itu dengan cara, taat kepada Allah & Rasul secara zahir & batin (keseluruhan diri).
-> dan Maha Suci Allah yang terus menyatakan betapa Dia Maha Pengampun (atas kesalahan kita) lagi Maha Mengasihani hambaNya.

15. Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
-> inilah tanda orang-orang yang benar-benar beriman; mereka percaya kepada Allah & Rasulullah tanpa ada sebarang keraguan (fizikal & spiritual).
-> orang-orang yang sebenar-benar beriman ini adalah mereka yang tiada keraguan dalam perjuangan serta menginfaqkan harta benda serta jiwa raga mereka ke jalan Allah, jalan kebenaran.

16. Katakanlah (kepada orang-orang "A'raab" itu Wahai Muhammad): "Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` Kami telah beriman ')? padahal Allah mengetahui Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi, dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
-> dalam ayat ini Allah menyangkal sekumpulan manusia yang terus mengatakan mereka telah beriman dan tahu tentang agama mereka sedangkan Allah lah jua yang Maha Mengetahui segala apa yang ada di seluruh alam ini.

17. mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (Wahai Muhammad) Dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): "Janganlah kamu mengira keIslaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (Kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah Yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dia lah Yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).
-> Allah menunjukkan betapa ada golongan manusia islam yang bersifat menunjuk-nunjuk dan mengungkit-ungkit dalam beragama sehingga perbuatan tersebut menjadi satu 'budi' yang perlu mendapat balasan.
-> Allah jualah yang Maha Berhak untuk menbangkit-bangkit akan budi kerana Allah lah yang memimpin manusia ke arah keimanan sedangkan manusia perlu beriman dan bertaqwa kepada Allah & Rasulullah tanpa sebarang ungkitan atau mahukan balasan.
 -> maka Allah tunjukkan betapa orang-orang yang benar-benar beriman ini tidak akan mengungkit setiap apa suruhan dan tegahan dan juga tidak mengharapkan balasan atas 'budi' keislaman mereka.

18. "Sesungguhnya Allah mengetahui Segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha melihat akan Segala Yang kamu kerjakan".

-> akhir sekali, ingatan Allah kepada semua hamba-hambaNya... Allahlah yang Maha Berkuasa serta Maha Mengetahui segala rahsia di langit dan dibumi dan Allah Maha Melihat setiap apa yang kita kerjakan dan kita tidak akan terlepas dari pandangan Allah.

-------------------------------------------------------------------------------------

Maha Suci Allah yang mengajar manusia dengan pena.
Banyak perkara yang kita boleh ambil dari Surah Al-Hujurat ini dalam melaksanakan tugasan sebagai hamba-hamba di atas muka bumi ini.
Kita tidak akan terlepas dari pandangan Allah.
Kita wajib menurut segala perintah Allah & mengamalkan segala suruhan Rasulullah.
Amatlah rugi manusia yang lalai serta leka akan ingatan-ingatan yang Allah berikan.

Marilah kita muhasabah diri, merangka kehidupan yang lebih bermakna, menjalankan setiap suruhan dengan penuh istiqomah.
Mudah-mudahan kita tergolong ke dalam golongan yang mencintai dan dicintai oleh Allah iaitu mereka-mereka yang redho serta diredhoi hendaknya. Insya Allah.

wasalam

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails