Thursday, February 04, 2010

Al-Quran : Baca, Fahami & Hayati

salam semua...

Alhamdulillah, diizinkan oleh Allah untuk kita bertemu lagi di ruang siber ini.
maaf kerana lama tidak menukil sesuatu di pentas ini atas dasar perkongsian dan berpesan-pesan sesama kita.

saya ingin berkongsi tentang kitab panduan & pedoman umat akhir zaman iaitu kandungan firman-firman Allah kepada hamba-hambaNya menerusi kekasih Allah, Junjungan Besar Rasulullah s.a.w.

meletakkan kepercayaan zahir & batin kepada Al-Quran juga adalah salah satu syarat iman atau kepercayaan seseorang muslim.

menolak sebatang huruf di dalam Al-Quran, sudah cukup untuk menggolongkan kita ke dalam golongan yang 'menolak' atau dalam bahasa arabnya 'kuff'..dan golongan yang menolak ini digelar golongan kaffir.. namun jika tolakan itu tersembunyi di dalam diri tidak pernah keluar dari lafazan, maka termasuk pula ke dalam golongan munafik iaitu yang berpura-pura ikut Al-Quran tetapi pada hakikatnya menolak.

mari kita lihat bagaimana kita samada benar-benar 'meminjamkan' masa kita kepada Allah untuk membuka, membaca, memahami dan menghayati kandungan Al-Quran yang merupakan firman-firman Allah yang berbentuk nasihat, suruhan, tegahan, contoh, amaran dan bimbingan dari Allah buat hamba-hambaNya yang mahu berfikir.

kita boleh memulakan 'checklist' dengan menanyakan kepada diri kita, hari ini berapa kerat ayat atau berapa banyak surah yang telah aku baca?

baik, jika kita punya jawapan sebegini; aku sudah membaca al-fatihah & surah-surah lazim setiap kali solat (makna kata, kita setiap hari sering membaca Al-Quran)

maka soalan seterusnya; dalam beberapa surah-surah yang di baca samada di dalam solat atau di luar solat, berapa di antaranya yang kita fahami maksudnya? sebagai contoh surah Al-Fatihah; adakah kita fahami keseluruhan maksud 7 ayat yang terkandung di dalam surah Al-Fatihah?

kita tahu ayat-ayat dalam surah Al-Fatihah; bermula dengan nama Tuhan yang maha pemurah, yang maha pengasih, segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, maha pemurah dan maha penyayang, raja hari pembalasan, Tuhan yang kita sembah dan Tuhan yang kita pohon pertolongan/bantuan; tunjukkanlah/bimbinglah kita ke jalan yang lurus/benar, jalan yang Tuhan telah tunjukkan kepada orang-orang sebelum kita, bukan jalan yang dimurkai dan bukan jalan yang sesat.

(sila lihat tafsir dan terjemahan untuk ketepatannya)

alhamdulillah jika kita tahu makna dan syukur sekiranya kita fahami maksud makna yang tersirat.

soalan seterusnya; dalam banyak-banyak kefahaman kita terhadap apa yang kita baca dan fahami menerusi ayat-ayat Allah itu tadi, berapa banyak di antaranya yang kita telah hayati?

hayati yang saya maksudkan ialah penerapan kefahaman di atas apa yang kita baca itu ke dalam bentuk perbuatan.

contoh; kepada engkaulah kami sembah, kepada engkaulah kami memohon pertolongan....
kita faham makna; Allahlah Tuhan yang kita sembah dan kepada Allah kita pohon pertolongan.
adakah kita hayati maksud yang tersirat?

begini; adakah kita benar-benar menyembah Allah zahir & batin? atau solat kita itu tadi sudah menjadi upacara harian? atau solat kita itu tadi sudah menjadi 'tiket' untuk mendapat kemuliaan, puji-pujian dsbnya? sembah yang dimaksudkan ialah menyembah dengan penuh jiwa & raga, penuh keredhoaan, penuh kasih & sayang, penuh kecintaan di mana tiada tuhan-tuhan lain yang layak untuk kita sembah melainkan Allah.

dan adakah kita benar-benar memohon pertolongan hanya kepada Allah? tidak kepada selain dari Allah? atau kita bergantung kepada perkara-perkara lain dalam memohon pertolongan? dari bomoh, dari makam keramat, dari doktor, dari orang kaya, dari yang berhormat dsbnya?

ingat bergantung pertolongan kepada yang lain selain Allah akan menjurus kita ke lembah syirik.

kita sakit, kita tidak boleh memohon pertolongan dari doktor; doktor itu hanya ikhtiar yang kita disarankan untuk melakukan sebagai satu tanda 'ketaqwaan' kepada Allah. maka di atas setiap ikhtiar itu hadir tawakkal sebagai tanda memohon pertolongan Allah.

dan taqwa ini berpasangan dengan tawakkal.

di atas hanya sekadar beberapa contoh untuk kita memulakan langkah mengemaskini diri dalam konteks keimanan di bawah rukun beriman kepada kitab suci.

jika kita boleh menghayati lagu-lagu, puisi-puisi, sajak-sajak yang didendangkan oleh artis kegemaran kita, masakan kita mahu memalingkan wajah dari menghayati firman-firman Allah?

dan suka saya berkongsi 3 potong ayat dari surah As-Saad;


As-Saad

27. dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan Yang tidak mengandungi Hikmah dan keadilan; Yang demikian adalah sangkaan orang-orang Yang kafir! maka kecelakaanlah bagi orang-orang Yang kafir itu dari azab neraka.

-> lihat ayat ini; percayalah, setiap apa yang Allah jadikan di atas muka bumi dan keseluruhan cakrawala semuanya mempunyai hikmah dan adil yakni tepat pada tempat dan masanya.
-> ayat ini sudah cukup untuk membuktikan betapa kekuasaan Allah yang Maha Mengetahui setiap yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
-> ayat ini juga menafikan 'perception' atau sangkaan atau fitnah atau cerita-cerita kosong orang-orang yang menolak kebenaran.
-> ayat ini juga memberitakan tentang balasan kepada golongan yang menolak kebenaran.

28. Patutkah Kami jadikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang Yang melakukan kerosakan di muka bumi? atau Patutkah Kami jadikan orang-orang Yang bertaqwa sama seperti orang-orang Yang berdosa?

-> masya Allah, lihat bagaimana Allah menjelaskan, menekankan bahawa tidaklah sama orang-orang yang beriman itu dengan orang-orang yang engkar (merosakkan muka bumi).
-> lihat penekanan Alah terhadap golongan yang bertaqwa (bertaqwa ialah mereka-mereka yang mengerjakan segala perintah Allah dan meningggalkan segala laranganya).
-> dan orang-orang yang bertaqwa ini ialah orang-orang yang beriman yang memanifestasikan keimanan mereka dalam bentuk kerja tubuh badan dan mereka-mereka ini tidak duduk diam berpeluk tubuh serta bermain dengan andaian serta persepsi.
-> lihat perbezaan antara orang yang bertaqwa dengan orang yang berdosa; kedua-duanya melakukan sesuatu (kerja tubuh); tetapi seorang melakukan hanya kerana Allah (orang bertaqwa) dan seorang melakukan hanya kerana nafsu/kehendak diri (orang berdosa).

29. (Al-Quran ini) sebuah Kitab Yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab Yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami Dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang Yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

-> subhanallah, ayat ini sudah cukup untuk mematerikan tentang betapa Al-Quran ini ialah pedoman, panduan untuk kita umat islam serta hamba Allah.
-> Allah nyatakan di dalamnya terkandung banyak faedah dan menafaat. (faedah = perkara yang sangat baik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara; menafaat = perkara yang memberi kesan terbaik tatkala seseorang itu mengambil setiap faedah yang ada) dan perlu diingat, faedah dan menafaatnya meliputi setiap perkara, elemen dan unsur secara keseluruhannya; mental, emosional, spiritual dan fizikal.
-> dan Allah nyatakan pula golongan yang mendapat faedah serta menafaat itu adalah dari kalangan yang memahami serta meneliti dengan baik/menghayati setiap baris ayat-ayatnya secara keseluruhan (bukan hanya mengambil satu dua untuk dijadikan tangkal kerana menggunakan ayat-ayat Al-Quran tanpa memahami maksudnya akan meletakkan kita ke dalam golongan yang memfitnah Allah)
-> dan Al-Quran ini juga memberi menafaat kepada golongan yang berakal sempurna (orang-orang yang tenang - nafsul mutmainnnah) di mana mereka-mereka ini dalam keadaan sentiasa beringat dan mengambil setiap iktibar/pengajaran dari maksud, kefahaman dan penghayatan mereka.

-----------------------------------------------------------

baiklah...

berpesan kepada diri saya sendiri dan anda semua.... marilah kita sama-sama 'meminjamkan' sebanyak-banyak masa yang kepada Allah dengan cara memenafaatannya menerusi membaca, memahami dan menghayati kitab suci Al-Quran...

mudah-mudahan kita dengan izin Allah dapat memanjang-manjangkan kefahaman dan penghayatan kita kepada ahli-ahli kita (keluarga, tetangga, rakan sepejabat dsbnya) dan mereka pula dapat memanjang-manjangkan lagi ke generasi setersunya.

insya Allah.

2 comments:

Anonymous said...

Sentiasa ingat pesan yang pernah diberi satu ketika dulu semasa kita berbincang berkira di satu forum.

Mirza pesan "kak wan baca quran tiap-tiap hari, baca ertinya sekali". Nasihat itulah diingat dan diikuti hingga sekarang.

Semenjak itu hati jadi rindu jika sehari tak menatapnya. Berusaha sedaya upaya memperbaiki, mempelajari sebanyak mungkin untuk memahirkannya sehingga ke hari ini.

Terima kasih banyak2.

Sifu Mirza said...

alhamdulillah kak wan...

kita sama-sama belajar..dan terus belajar..

:-)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails