Tuesday, August 12, 2008

SATU KISAH: Yang DULU dan Yang KINI.... Di Antara Dua Darjat...

KUCARI DAMAI ABADI

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,

Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,

Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,

Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,

Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman

Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan

Aku hidup kerana Dia Rabbi

Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi

Aku hidup bererti
Menikmati damai abadi








PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina

Air mata tiada ertinya sejarah silam tiada maknanya sekiranya bangsa tercinta terpinggir dipersenda dan dilupakan

Bukan kecil langkah wira bangsa para pejuang kemerdekaan bagi menegakkan kemulian dan darjat bangsa
Selangkah bererti mara mengharung sejuta dugaan

Biarkan bertatih asalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara
Air mata sengsara mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita

Tugas kita bukan kecil kerana mengisi kemerdekaan lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan, mengangguk dan membenarkan, kerana sekalipun banggakan negara kerana makmur dan mewahnya, bangsaku masih melata dan meminta-minta di negara sendiri

Bukan kecil tugas kita meneruskan perjuangan kemerdekaan kita kerana rupanya selain kemerdekaan, mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara

Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya bukankah sejak zaman berzaman mereka menjadi pelaut, pengembara malah penakluk terkemuka?

Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap, menjadi pedagang dan peniaga selain menjadi ulama dan ilmuwan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera menjajah dunia yang tak dikenal

Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau yang tidak mengenal erti takut dan kematian?Di manakah silapnya hingga bangsaku berasa begitu kecil dan rendah diri?

Apakah angkara penjajahan?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam dan sejarah gemilang membina empayar?

Tugas kita belum selesai rupanya bagi memartabatkan dan memuliakan bangsa kerana hanya bangsa yang berjaya akan sentiasa dihormati
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita bukan sekadar memerdeka dan mengisinya tetapi mengangkat darjat dan kemulian buat selama-lamanya

Hari ini, jalan ini pasti berliku kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai kerana hanya yang cekal dan tabah dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya

Dr. Mahathir Mohamad-4th of May 1996
---------------------------------------------------------------------
sekadar mengingkatkan...
sekadar menyegarkan...
ingatan kita semua...
tentang apa yang keluar dari mulut penguasa-penguasa yang digelar pejuang bangsa dan negara...
tepuk dada tanya selera...
usap dada amati iman...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails